Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara -Saidina Abu Bakar As-Siddiq

e-usrah

Tuesday, October 11, 2011

umar abdul aziz

 
Umar Abdul Aziz merupakan cicit kepada Sayidina Umar Al-Khattab daripada anaknya, 'Asim(terpelihara) yang telah berkahwin dengan seorang perempuan yang hebat. Dalam kesah perempuan tersebut, di mana ketika ibunya meminta dia mencampurkan susu lembu dengan air, maka dia membalas dengan kata-katanya yang terkenal :

"Wahai ibuku, jika Amirul Mu'minin tidak nampak, TUHAN Amirul Mu'minin nampak".

Hasil daripada perkahwinan 'Asim dengan perempuan hebat tersebut, lahirlah seorang anak perempuan solehah bernama Laila. Laila ini pula berkahwin dengan seorang tokoh daripada Bani Umaiyah bernama Abdul Aziz, Gabenor Mesir pada ketika itu dan melahirkan anak bernama Umar.

Umar Abdul Aziz ketika kecilnya sangat suka belajar ilmu Fiqh dan Hadis daripada ulama-ulama Madinah dan sangat disayangi oleh penduduk-penduduk di Madinah sehinggakan pada suatu ketika dirinya dipilih menjadi Gabenor Madinah.

Umar Abdul Aziz juga rapat bersama Khalifah Sulaiman Abdul Malik pada ketika itu. Mereka merupakan sepupu jauh yang telah kenal sejak kecil lagi.

Pada suatu hari Umar dibawa oleh Khalifah ke markas tenteranya. Maka ditanya oleh Khalifah kepada Umar, "Apa yang engkau lihat wahai Umar?"

Dijawab oleh Umar Abd Aziz,

"Aku sedang lihat dunia itu sedang memakan satu antara satu sama lain. Dan engkaulah orang yang bertanggungjawab dan akan dipersoalkan oleh Allah mengenainya."

"Kau tidak kagumkah dengan pemerintahan kita ini?" Tanya khalifah lagi.

Lalu dijawab oleh Umar Abdul Aziz.

"Bahkan yang paling mengkagumkan ialah orang yang mengenali Allah, kemudian menderhakaiNya. Mengenali syaitan, kemudian mengikutinya. Mengenali dunia, kemudian ia condong kepada dunia."

Sulaiman bin Abd Malik kagum dengan jawapan Umar Abd Aziz. Sehingga pada waktu kematian Sulaiman bin Abdul Malik, ketika dia sedang sakit, dia bertanya kepada Raja' Ibn Haiwah, menteri yang baik dan hebat dalam sejarah Islam.

"Aku sedang berfikir bagaimana aku hendak menyerahkan urusan pentadbiran kaum muslimin selepas ketiadaan ku nanti."

Jawab Raja' Ibn Haiwah,

"Wahai Amirul Mu'minin, antara perkara yang boleh menyebabkan engkau selamat dalam kubur dan mendapat syafaat di hari akhirat, engkau tinggalkan urusan pentadbiran ini kepada khalifah yang adil."

"Siapa?" tanya khalifah.

"Aku lihat Umar Abdul Aziz." jawab penasihatnya.

Maka ditulisnya di dalam surat lalu dipanggilnya semua ketua pentadbiran dan juga tentera-tentera lalu disuruhnya mengangkat baiah terhadap nama yang tertera di dalam surat tersebut.

Selepas kematiannya, maka semua orang berkumpul di dalam masjid untuk mengetahui siapakah yang akan menjadi khalifah selepas itu, lalu Raja' Ibn Haiwah membaca isi dalam surat tersebut. "Bangkit wahai Umar Abd Aziz. Engkaulah nama yang berada dalam surat ini."

Umar terperanjat lalu dia pun bangkit dan berkata kepada orang ramai.

"Wahai manusia, sesungguhnya jawatan ini telah diberikan kepadaku tanpa bermesyuarat dengan ku dan dengan kamu semua. Sesungguhnya aku mencabut baiah taat setia daripada tengkuk-tengkuk kamu maka kamu pilihnya sesiapa yang kamu mahu."

Semua orang yang hadir pada ketika itu menolak dan tetap kepada pemilihan Umar Abdul Aziz sebagai khalifah.

Kemudian pulanglah Umar Abdul Aziz ke rumah. Lalu berfikirlah dia apa yang perlu dilakukan olehnya sebagai khalifah sambil berehat di atas katil. Kemudian masuk anaknya, Abd Malik yang berusia 15 tahun.

"Wahai ayahku apa yang engkau sedang buat?"

Di jawab oleh Umar Abdul Aziz,

"Wahai anakku, ayahmu terlalu letih menguruskan jenazah. Dan ayahmu tidak pernah merasai satu keadaan yang tubuhku terlalu penat dengan jawatan seperti hari ini."

"Jadi apa yang engkau akan buat wahai ayah?"

"Ayahmu akan tidur sekejap sehingga masuk waktu zuhur, kemudian ayah akan keluar bersembahyang dengan orang ramai."

Maka jawab anaknya,

"Wahai Amirul Mu'minin, siapa yang menjamin Amirul Mu'minin hidup sehingga waktu zuhur. Sedangkan sekarang ialah waktu Amirul Mu'minin keluar untuk mengembalikan hak-hak orang yang telah dizalimi."

Tersentak dan terbangun Umar Abdul Aziz mendengar kata-kata anaknya. Lalu dipanggil anaknya datang menghampirinya dan dicium kedua mata anaknya.

"Alhamdulillah kerana telah dikeluarkan dariku, orang yang akan menolong aku di atas agamaku."

Salah satu khutbah Umar Abdul Aziz yang terkenal iaitu pada hari kedua dia menjadi khalifah :

"Wahai manusia, tidak ada kitab selepas al-Quran dan tidak ada nabi selepas Muhammad SAW. Aku bukan penentu hukum, aku pelaksana hukum Allah. Aku bukan ahli bid'ah, aku seorang yang mengikut sunnah. Aku bukan orang yang paling baik di kalangan kamu, cuma aku orang yang paling berat tanggungannya di kalangan kamu. Aku mengucapkan ucapan ku ini sedangkan aku tahu bahawa aku orang yang paling berdosa di sisi Allah."

Selepas itu, Khalifah Umar pulang ke rumah dan menangis mengenangkan ujian Allah yang sangat besar. Kemudian isterinya duduk di sebelahnya dan bertanya. "Apa yang Amirul Mu'minin tangiskan?"

Lalu dijawab oleh Khalifah,

"Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini. Dan aku teringat orang-orang miskin, aku teringat ibu-ibu yang janda, anaknya ramai tetapi rezkinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, aku teringat para fuqara' kaum muslimin. Aku tahu bahawasanya mereka semuanya ini, akan berdiri mendakwaku pada hari akhirat kelak dan aku tidak dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah. Kerna aku tahu pembela mereka pada ketika itu ialah Nabi Muhammad SAW."

2 tahun 5 bulan 5 hari mentadbir, maka terjadilah keadaan yang kita selalu dengar iaitu tiada orang-orang miskin yang layak menerima zakat lagi wujud pada waktu itu.

Ketika Khalifah Umar Abd Aziz hendak meninggal, orang-orang yang datang berziarah semua melihat keadaan khalifah yang sangat miskin, hanya memiliki sehelai baju. Lalu bertanya kepada Khalifah, "Wahai Khalifah, tidakkah engkau mahu mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?"

Maka jawab Khalifah Umar Abd Aziz,

"Anak-anakku jika mereka orang-orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak ingin meninggalkan hartaku kepada orang-orang yang menderhakai Allah."

Lalu dipanggil anak-anakanya masuk lalu dikatanya,

"Wahai anak-anakku sesungguhnya bapamu telah diberikan dua pilihan. Yang pertama menjadikan kamu semua kaya, dan bapamu masuk ke dalam neraka. Yang kedua kamu menjadi miskin seperti sekarang dan bapamu masuk ke dalam syurga. Sesungguhnya bapamu memilih untuk masuk ke dalam syurga."

Selepas kematian Umar Abdul Aziz, ketika mana kejatuhan Bani Umaiyyah, anak-anak Umar Abdul Aziz menjadi kaya raya sedangkan anak-anak khalifah yang kaya sebelum itu semuanya telah jatuh miskin.

Begitulah kehebatan tawakkal Umar Abdul Aziz terhadap kuasa Allah SWT. Semoga sama-sama dapat kita mengambil iktibar daripada kisah ini. Insya Allah.

Wassalam WBT.

No comments:

“Amal yang paling baik adalah yang paling ikhlas dan paling benar. Jika amal itu ikhlas tapi tidak benar, maka tidaklah diterima. Jika amal itu benar tapi tidak ikhlas, juga tidak akan diterima kecuali jika dilakukan secara ikhlas. Ikhlas artinya dilakukan hanya karena Allah. Adapun benar artinya adalah sesuai dengan sunnah (tuntunan dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam).” (Fudhail bin ‘Iyadh)