Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara -Saidina Abu Bakar As-Siddiq

e-usrah

Sunday, February 12, 2012

pengurusan kewangan berkesan

Biasalah alam PELAJAR Universiti, awal-awal semester memang duit penuh poket..Mula lah tangan gatal belanja sana, belanja sini. Awal Semester katakan..bagi pelajar tajaan JPA mungkin tiada masalah, akan tetapi bagi pelajar Tajaan Pinjaman PTPTN pasti akan mengalami situasi sebegini. Hendak tidak Hendak, pasti tidakboleh lari, Situasiini adalah WAJIB bagi anda

Jadi di sini, nak kongsikan 7 tips pengurusan kewangan di ambil dari laman I LUV ISLAM





Berikut adalah antara 7 langkah mudah dalam menguruskan pengunaan wang anda dalam keadaan terbaik ketika berbelanja.


1: Berbelanja Secara Tunai Sahaja! (Go Cash-Only)

Amalan yang terbaik ketika hendak berbelanja adalah dengan menjauhi kad kredit. Anda tidak akan terlebih berbelanja sekiranya anda tidak membawa bersama kad kredit semasa membeli-belah. Tinggalkan sahaja ia di rumah dan jangan sekali-kali membawanya bersama di dalam beg duit ataupun beg tangan. Jika ia bersama anda, kebarangkalian anda untuk swipe adalah tinggi! Faktor anda tidak nampak duit anda keluar ketika membayar inilah yang seringkali menyebabkan anda terlebih dalam berbelanja tanpa anda sedari.

2: Tetapkan Matlamat Jangka Panjang! (Set Long-term Goals)

Jika anda inginkan kebebasan kewangan dalam jangka masa yang panjang, tetapkanlah satu matlamat di mana anda akan selalu diingatkan untuk tidak berbelanja sesuka hati demi mengejar impian tersebut. Sebagai contoh, anda ingin bebas kewangan dalam masa 5 tahun sahaja lagi, tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan tetapkan satu tarikh berserta jumlah simpanan yang anda inginkan. Letakkan matlamat tersebut di tempat yang anda mudah nampak seperti cermin, peti ais, meja pejabat dan sebagainya. Matlamat ini akan menjadi pengawal kepada tingkah laku anda untuk berbelanja. Baca matlamat ini setiap hari.

3: Bezakan Antara Keperluan Dan Kehendak! (Distinguish Between Needs and Wants)

Adakah beg tangan atau kasut baru menjadi tarikan kepada anda semata-mata atau anda betul-betul memerlukannya? Sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk memiliki beg tangan atau kasut baru tersebut, lebih baik anda berfikir seketika. Jika ia adalah keperluan dan berada dalam lingkungan bajet anda, teruskan untuk membuat pembelian. Jika ia hanyalah kehendak anda, fikirkanlah kesan selepas anda membuat pembeliannya. Adakah anda gembira jika dapat memilikinya ataupun anda sekadar ingin penuhkan wardrob. Atau adakah anda betul-betul mampu untuk memilikinya? Sekiranya masih ada lagi keperluan lain yang perlu dipenuhi, pertimbangkanlah untuk memiliki beg tangan ataupun kasut baru itu tadi. Perkara paling utama dalam berbelanja adalah anda perlu jujur kepada diri sendiri dan berani untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang tidak mendesak anda untuk memilikinya buat masa sekarang.

4: Berbelanjalah Dengan Senarai Perkara Yang Diperlukan! (Shop with a List)

Perkara yang paling mudah dan selalunya diabaikan ketika ke luar berbelanja adalah dengan menulis senarai barangan yang diperlukan. Bila kita tidak mempunyai senarai barangan yang diperlukan, daripada ingin membeli satu barang sahaja maka tanpa disedari kita sudah terlebih berbelanja. Mula-mula nak beli lampin anak, jalan selangkah ada tawaran syampu, promosi kopi, tudung murah dan sebagainya. Akhirnya daripada membeli lampin sahaja, beg plastik yang ringan menjadi berat. Tetapkan apa barangan yang perlu dibeli sahaja, jika anda tergoda untuk membeli selain daripada senarai, masukkan barangan tersebut dalam senarai pembelian yang akan datang.

5: Berikan Peruntukan Untuk Diri Anda Sendiri! (Give Yourself an Allowance)

Memang tidak dapat dinafikan sama sekali sifat setiap individu inginkan sesuatu yang baru selepas penat lelah bekerja selama sebulan. Lihat kembali kepada bajet anda, fikirkanlah berapa banyakkah yang mampu anda gunakan untuk tujuan tersebut. Sebagai contoh anda peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk membeli baju atau menonton wayang dan sebagainya. Berbelanjalah dalam tempoh sebulan tersebut dengan peruntukan tadi. Bilamana peruntukkan tersebut habis, berhentilah berbelanja! Tiada pengecualian dalam kes ini. Anda tidak dibenarkan sama sekali untuk berbelanja lebih daripada yang diperuntukkan.

6: Carilah Teman Untuk Keluar Berbelanja! (Find a Shopping Buddy)

Jika anda seorang yang cepat dan mudah tertawan dengan promosi daripada jurujual, anda dinasihatkan untuk mencari seorang teman samada daripada rakan-rakan ataupun keluarga yang mampu untuk berkata tidak kepada sebarang tawaran yang di luar kawalan anda. Anda hanya dibolehkan ke luar berbelanja dengan syarat membawa mereka bersama, jika tidak jangan sekali-kali memberanikan diri keluar keseorangan, bimbang anda akan terjebak dengan kes terlebih berbelanja.

7: Meninjau Terlebih Dahulu Pilihan Anda! (Survey Your Selections)

Perkara yang terbaik sebelum anda membuat senarai barangan untuk berbelanja adalah dengan meninjau terlebih dahulu harganya. Dengan adanya teknologi internet, anda bolehlah menyemak senarai harga di laman web yang berkenaan dan membuat perbandingan harga. Buat ulangkaji harga terlebih dahulu sehingga anda betul-betul yakin dan mendapat harga yang terbaik.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

“Amal yang paling baik adalah yang paling ikhlas dan paling benar. Jika amal itu ikhlas tapi tidak benar, maka tidaklah diterima. Jika amal itu benar tapi tidak ikhlas, juga tidak akan diterima kecuali jika dilakukan secara ikhlas. Ikhlas artinya dilakukan hanya karena Allah. Adapun benar artinya adalah sesuai dengan sunnah (tuntunan dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam).” (Fudhail bin ‘Iyadh)