Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara -Saidina Abu Bakar As-Siddiq

e-usrah

Monday, October 29, 2012

Cerita menarik Ibrahim Adham....







Cerita menarik Ibrahim Adham....

Kesimpulan:
-Apa tujuan kita hidup?
-Sanggupkah kita tinggalkan DUNIA untuk ALLAH?
-Dunia ini persinggahan kita...

Ibrahim bin Adham atau nama asalnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Beliau terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah kekuasaannya. Ke mana saja pergi, beliau akan diirin
gi empat puluh bilah pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan dan belakangnya. Nama beliau berada dalam tinta sejarah daripada seorang raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.

Bermulanya perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu malam ketika baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”

“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.

“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim menengkingnya.

“Wahai manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” Jawab suara itu penuh simbolik.

Kata-kata ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan dan masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya gelisah dan banyak termenung.

Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan perjumpaan itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang berani menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim Adham.
“Apakah yang engkau inginkan daripada aku?” Tanya Ibrahim.
“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.
“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.
“Siapa pemilik sebenar istana ini sebelum engkau?” Tanya lelaki itu.
“Ayahku!” Jawab Ibrahim pendek.
“Sebelum ayahmu?”
“Datukku!”
“Sebelum dia?”
“Datuk kepada datuk-datukku!”
“Ke manakah mereka sekarang ini?“ Tanya lelaki itu.
“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.
“Jika demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” Kata lelaki itu.

Tersentak juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat Ibrahim menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di tengah orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.

Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”

Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”

Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.

Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”

Dengan berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri padang pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang raja yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama sembilan tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul mengabdikan dirinya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis baginda ke pekan bernama Nishapun untuk menjual kayu api. Setelah sembahyang Jumaat baginda pergi membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.

Akhirnya baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk merantau lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak tahu lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu betapa kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima oleh sesiapa yang mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab dengannya dan ada yang menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang pasir itu empat belas tahun lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan merendahkan dirinya serta tawaddhu’ kepada Allah Subhanahu wata’ala. Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang; dari seorang raja berubah menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.

Pernah dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda itu ada seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil tabarruk ke atas baginda dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang ini, semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.

“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.

“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.

“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.

“Ya, kenapa tidak?” Jawabnya ringkas.

“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku, engkau adalah ketua para pengemis di sini. Bahkan engkau bukan seorang pengemis lagi tetapi seorang yang sangat miskin dan meminta-minta.” Tegur Ibrahim.

Kata-kata Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika. Penolakan pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana pertemuan dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya dunia ini. Beliau lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada apa yang perolehinya selama ini.

Suatu ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”

Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.

Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, "Kembalikanlah jarumku!"

Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.

Ibrahim berkata: "Aku inginkan jarumku sendiri."

Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.

“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.

Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia (sekarang Iran tapi ada sumber lain cakap kat Syria, tatau la Ciknur). Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis kehidupan yang penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.

*Dipetik dari Tazkirat al-Aulia karangan Farid ad-Din Attar, Mukhtashar ar-Raudah ar-Rauyyahin Fi Manaqib as-Salihin karangan Abu Mazaya al-Hafiz.

Tuesday, September 04, 2012

RAHSIA GARAM



Rahsia Garam... Amalan sunnah yang tak diketahui...

Amalan Rasulullah S.A.W mem
akan secubit garam sebelum dan selepas makan kini dibuktikan oleh sains bahawa tabiat ini menambahkan keberkesanan perut untuk menghadam makanan dan menghindarkan perut dari menyerap racun.

Pada zaman Yunani, Tentera Yunani ( askar Greek ) dibayar gaji menggunakan garam .Begitu juga dengan episod penjajahan negara kecil oleh negara besar dengan mengenakan hukuman penjara kepada penentang mereka .

.Apabila dipenjarakan, mereka ( penentang ) akan diberi makanan seperti roti dan air tanpa garam .Walaupun kerap dihidangkan dengan roti dan air tanpa garam, badan mereka tetap lemah memandangkan kurangnya kandungan garam dalam badan.

Dari Abdullah Bin Umar

” Sesungguhnya ALLAH menurunkan empat perkara berkat ( mempunyai kebaikan ) dari langit ( menerusi hujan ) ke bumi iaitu besi, api ,air dan garam”

Hadis Riwayat Al-Baghawiy dalam tafsirnya .

Dari Anas Bin Malik, nabi bersabda ” Penghulu segala lauk pauk kamu ialah garam .

Dalam kitab perubatan Islam, untuk penyakit dari laut maka untuk keluarkannya dari badan/merawatnya dari laut juga iaitu menggunakan air garam. Antaranya:

1. Penyakit Ghaut – timbus anggota badan atau bahagian yang bengkak dengan pasir laut ( tepi pantai ) 1 – 2 jam kemudian mandi air laut.

2. Kalau tinggal di bandar seperti , goreng 1 – 2 genggam garam kasar sampai kekuningan kemudian demah/tuam di bahagian yang bengkak atau sakit. Garam itu dibungkus dengan kain.

3. Guna cara yang sama seperti di atas untuk penyakit lenguh-lenguh sendi, sakit kepala, senggugut. Kalau sakit lelah demah/tuam pada tapak kaki.

4. Elak mabuk semasa perjalanan dengan meminum madu dan secubit garam atau air suam dan secubit garam sebelum memulakan perjalanan

5. Mengembalikan tenaga untuk orang yang bekerja berat seperti bertani, bersukan dan seumpamanya – minum air suam dan sedikit garam.

6. Cuci perut : minum air suam dan satu butir garam kasar sebelah pagi.

Petua berdasarkan kajian

Merendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).

Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.

Merawat cirit-birit. Ia boleh diubati dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.

Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal.

Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa/angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa/angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.




Monday, September 03, 2012

Tunduklah Pandangan wahai anak muda



TUNDUKLAH PANDANGANMU WAHAI ANAK MUDA..




ada satu kisah tentang seorang pemuda berjumpa dengan gurunya lalu sempat bertanya kepada gurunya dengan satu soalan:


Anak Muda: "guru! saya ni seorang anak muda yang kuat dan banyak keinginan, saya tidak mampu menegah diri saya daripada memandang kepada perempuan2 di pasar, apakah yang patut saya lakukan?"


lalu gurunya telah memberikan secawan yang diisi penuh dgn susu dan gurunya telah memberi pesan kepada anak muda ini, agar dia membawa secawan susu itu ke satu tempat.
"awak kena bawa secawan susu ini ke tempat yang telah aku tentukan dan awak mesti melalui pasar itu tanpa menumpahkan sdikitpun air susu dalam cawan itu"

guru memanggil salah seorang anak muridnya, agar memerhatikan pergerakan anak muda ini, dan memerintahkan agar memukulnya di khalayak ramai sekiranya anak muda ini menumpahkan susu itu.

akhirnya..

anak muda ini berjaya membawa susu tersebut ke tempat yang telah ditentukan oleh guru ini tanpa menumpahkan setitik pun dari cawan.

lalu guru bertanya: "BERAPA RAMAI PEREMPUAN DAN ANAK DARA YANG TELAH KAMU PANDANG SEPANJANG JALAN?".

anak muda menjawab: " wahai guru ku! aku tak pandang apa2 pun sepanjang jalan. ini kerana aku cuma takut dipukul dan dimalukan dihadapan khalayak ramai apabila aku menumpahkan air susu ini".

gurunya berkata: " BEGITULAH KEADAAN ORANG BERIMAN, SEORANG MUKMIN ITU AKAN SENTIASA TAKUT KEPADA ALLAH DAN SEKSAAN DIAKHIRAT KELAK APABILA MELAKUKAN MAKSIAT"

ORANG YANG BERIMAN AKAN MENJAGA DIRI2 MEREKA DARIPADA MELAKUKAN MAKSIAT.

MEREKA SENTIASA MEMBERI FOKUS UNTUK PERSEDIAN HARI KIAMAT.

satu kerugian HARTA beribu-ribu di BANK


bukan susah untuk pegang duit beratus-ratus
beribu-ribu..
tapi bila duit beratus-ratus, beribu-ribu berada di tangan
terasa susah untuk melepaskannya..
untuk membeli barang fikir 2 3 kali dulu baru beli
untuk memberi sedikit kepada mereka yg tidak mampu
berat rasa hati untuk mellepaskannya

NYAH diri.,.engkau telah termakan dengan hasutan godaan SYAITAN

" syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan , kepapaan dan ia menyuruh kamu membuat perbuatan keji ( bakhil ).....**" al baqarah 268

Lihatlah Janji syaitan kepada manusia.. menjanjikan suatu yang indah , mendidik manusia supaya kedekut untuk melakukan ibadah sedekah..Sedangkan sedekah itu bukanlah mengurangkan sedikit pun harta manusia. Malahan ALLAH kurniakan nimmat kepada manusia. Bertambah-tambah nikmat..

Biarlah duit berkumpul di BAnk beribu-ribu tanpa diguna. Apabila saat malaikat menyambil nyawa..Duit itu hanyalah sekadar duit yang tidak memberi Faedah kepada manusia..

Tapi jika harta tersebut digunakan, di infakkan , diwakafkan.. pastinya pabila malaikatul maut datang mencabut nyawa.. harta tersebut masih dapat memberi manfaat walaupun telah meninggal dunia..

inilah janji allah
.......** sedang ALLAH menjanjikan kamu keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaanNYA. DAn ingatlah ALLAH maha luas limpah rahmatnya lagi sentiasa meliputi pengetahuanNYA" al baqarah 268

picture credit to .desibucket


12.32 a.m
September 2nd

Sunday, September 02, 2012

Kisah Al-Hassan Al Basri dan Khalifah HArun Al Rashid

Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r. a. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami."Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang meminpin kamu itu hanya seorang hamba.Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." 

Kisah Al-Hassan Al Basri dan Khalifah Harun Al Rashid
"After the establishment of the Abbasid Caliphate in the eighth century C.E. with its capital at Baghdad, the highly Hellenized medical centre of Gondeshapur in south west Persia began to radiate its influence. Harun al-Rashid encouraged the translation of Greek medical texts into Arabic, which for the next five hundred years would be the principle language for the dissemination of medical science from Baghdad to Toledo. The works of Hippocrates and more importantly those of Galen dominated, which the Arabic authors commented on and augmented."


Sewaktu menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah, dia telah mengarahkan seorang Menterinya untuk mengutus surat jemputan kepada rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya.

Dalam majlis tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid dengan jamuan yang lazat-lazat.
Harun Al Rashid juga menghadiahkan kepada mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Antara yang dijemput ialah Hasan Al Basri.
 

Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir.
 Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung majlis.Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan.

Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya.
 

Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum menerimanya? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?
 

Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal.
Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ? 

Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah.

Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut.
Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.


Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus,baru dia senang menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya. 

Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri.

Sang Menteri pun segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri 
membawa surat tulisan tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana. Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut terus berjalan menuju ke pintu madrasah.Hassan Al Basri, sewaktu terpandang Menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri!
 

Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri!
Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2. Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga berasa kehairanan. 

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.
 

Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.
 Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri. 

Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah.
 

Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam Menteri tersebut.
 

Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari ?
 

Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini..
jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri.

Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya. Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya.
 

Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya menyampaikan surat Tuannya.
 

Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar. Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca.


" Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.
 

Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan perlantikan ku sebagai khalifah.
Mungkin engkau sibuk sewaktu hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis tersebut.Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu.Akan ku jamu engkau dengan hidangan yang enak dan lazat.
Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah yang cantik dan mahal. 

Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok hari untuk majlis ini.
 Sekian. 
Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid "
Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya.

Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya. 

"
Salam,
 Harun, 

Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan mungkar mu ?
 

Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ?

Engkau tergamak menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik
 rakyat bagi membiayai majlis peribadi mu.

Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung.
Kau biarkan mereka
 tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?" 

Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri dengan kekayaan mereka.

Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.
 

Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah engkau lakukan.

Amanah rakyat telah engkau khianati.

Apatah lagi jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan.
 

Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ?
 

Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri adalah sahabat mu.

Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan persahabatan ku dengan mu !!!
 

Sekian.


Hassan Al Basri "

Tersentuh hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al Basri.
Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada
 Menteri untuk dikembalikan kepada Harun Al Rashid. 

Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.
 

Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu.
Kata-kata Hassan Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya.Kini hatinya menjadi rungsing.

Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan.
Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang mengikutinya. Lalu berkatalah Menteri tersebut kepada para pedagang di pasar itu.


Menteri : Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana. Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah. 

Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka.
 

Pedagang : Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?
 

Menteri : Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya amat murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang kasar seperti yang dipakai
 oleh ahli sufi. 

Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri.

Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah
 dengan pakaiannya yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri.

Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ? 

Menteri : Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri, aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada pakaian yang kasar dan murah ini.
Anggaplah aku membawa surat jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu.
Kerana selepas ini, aku akan mengikuti tuan ku yang baru, iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul Nya.
 

Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al Rashid dan terus berlalu dari situ. 
Menteri itu telah pergi ke Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.

Harun Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus membuka dan membacanya. 

Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di hari itu.

Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas.

Jawapan Hassan Al BAsri telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis. Tangisan keinsafan.
 

Di beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat.

Sesudah selesai solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan 
Al Basri dan terus menangis.Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam pentadbirannya.
Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.



Friday, August 17, 2012

Asal Usul Koko


 
Buah koko atau nama saintifiknya Theobroma Cacao yang bermaksud ‘makanan dewata atau tuhan’ bermula sejak 600 tahun sebelum Masihi di Lembah Amazon dan ditemui oleh Kaum Mayan yang kemudiannya memperkenalkannya kepada Kaum Aztec melalui aktiviti perdagangan. Pada tahun 1502, ketika Christopher Colombus mendarat di Mexico, dia telah diperkenalkan oleh raja Aztec iaitu Raja Moctezuma minuman koko Xocolatl, Setelah ia dibawa balik ke Eropah, maka bermulalah evolusi koko di dunia,  dari situ koko dibawa menyeberangi Lautan Hindi ke Jawa, Sumatera hinggalah ke Malaysia.
Koko banyak ditanam di Sabah terutamanya daerah Tawau, hampir 60% koko Malaysia dihasilkan di sana.  Oleh kerana banyaknya koko di Tawau, bandar Tawau juga dikenali sebagai bandar koko. Koko juga terdapat ditanam di Pahang terutamanya daerah Temerloh & Jengka, tetapi sekarang ini, jumlahnya semakin berkurangan kerana petani lebih suka memilih tanaman kelapa sawit yang lebih mudah penjagaannya.

Proses memeram biji koko selama 5 hari sebelum dikeringkan selama 8 hari lagi

Masa muda saya ketika membelah buah koko di Ladang Tenom, Sabah

Biji koko perlu diperamkan terlebih dahulusebelum dikeringkan, ini sangat penting untuk menghasilkan perisa coklat.  Biji koko yang tidak diperam tidak boleh diproses menjadi coklat kerana tiada terdapat perisa coklat  di dalamnya. Biji koko yang telah diperam akan dikeringkan sebelum digredkan & dibungkus.

Biji koko kering

Massa Koko cair semasa diproses






Biji-biji koko kering tadi akan di bersihkan, dipanggang, dipecahkan, dibuangkan kulit luarnya sebelum dikisar menjadi Massa Koko atau Cocoa Liquer ( Ini yang orang selalu keliru dan mengatakan ianya haram, Cocoa Liquer tiada mengandungi alkohol ya.)  Massa Koko ini akan diperah untuk mengeluarkan Lemak Koko dan hampas yang tertinggal akan dikisar menjadi Serbuk Koko ( Jadi selama ini kita makan hampas lah ya..he..he).  Serbuk koko ini akan dialkalikan untuk membuang rasa masamnya, ini dinamakan ‘Pengalkalian’ dan serbuk koko yang terhasil dinamakan ‘Alkalised Cocoa Powder‘.  Ianya agak gelap sedikit berbanding serbuk koko yang neutral. Jadi untuk menghasilkan kek atau biskut yang sedap, gunakan lah serbuk koko yang diproses ini, rasanya lebih sedap dan mudah larut. Semakin banyak proses pengalkalian ini dilakukan, semakin gelap serbuk koko yang terhasil, oleh itu serbuk koko hitam itu agak banyak kendungan kimianya ( Inilah serbuk koko yang digunakan untuk membuat biskut coklat warna hitam yang terkenal tu…..)
Untuk proses membuat coklat, perbezaan antara coklat gelap. coklat susu & coklat putih juga perbezaan antara Coklat Tulen, Coklat Tiruan dan Coklat Diabetik akan saya ceritakan pada entri akan datang ya…Chef Amer



By : Chef Amer
Rujukan : Bila Chef Amer Berbicara

Thursday, August 16, 2012

KISAH IMAM AHMAD RAHIMAHULLAH & SI PEMBUAT ROTI






Suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal mahu menghabiskan malamnya di masjid, akan tetapi beliau dihalang oleh pengawal masjid. Sudah puas beliau mencuba namun tetap tidak berjaya.

Imam Ahmad pun berkata: “Saya akan tidur di tempat saya berdiri ini.” Dan beliau benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya. Namun, pengawal itu tetap berusaha menarik beliau menjauhi masjid.

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.”

Imam bertanya: “Apakah doa itu?”

Pembuat roti pun berkata: “Aku mahu melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”

Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”






sesiapa yang melazimi istighfar, maka ALLAH akan menjadikan baginya dari setiap kesempitan ada jalan keluar dan dari setiap kesedihan ada kelapangan serta ALLAH akan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka ==> sunan abu daud
“Amal yang paling baik adalah yang paling ikhlas dan paling benar. Jika amal itu ikhlas tapi tidak benar, maka tidaklah diterima. Jika amal itu benar tapi tidak ikhlas, juga tidak akan diterima kecuali jika dilakukan secara ikhlas. Ikhlas artinya dilakukan hanya karena Allah. Adapun benar artinya adalah sesuai dengan sunnah (tuntunan dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam).” (Fudhail bin ‘Iyadh)